PANTANG LARANG & KEPERCAYAAN KAUM IBAN
04:54PANTANG LARANG SEWAKTU MENGANDUNG
Kaum Iban amat menekankan pentang larang sewaktu mengandung dan selepas bersalin. Pantang larang sewaktu mengandung bukan sahaja dikenakan kepada wanita yang sedang mengandung malah si suami turut dikenakan pantang larang, contohnya, mereka tidak dibenarkan memotong pokok yang menjalar di atas tanah kerana dikhuatiri berlakunya pendarahan berterusan semasa si ibu melahirkan. Mereka juga dilarang memecahkan telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi cacat. Selain itu mereka juga dilarang membawa kura-kura ke bilik kerana dikhuatiri bayi tersangkut semasa dilahirkan. Bakal ibu juga dilarang menuang minyak di tapak tangan untuk disapu ke rambut kerana dikhuatiri bayi yang akan lahir daripada menanah.
ADAT SELEPAS BERSALIN
Sebaik sahaja bayi dilahirkan ahli keluarga akan memalu buluh yang dikenali sebagai potong oleh masyarakat Iban sebagai tanda bayi telah dilahirkan dan untuk memanggil jiran tetangga. Namun selaras arus kemodenan ada keluarga yang menggunakan senapang untuk menggantikan potong.
Sebaik sahaja bayi dibersihkan bayi akan dibalut atau dibedung menggunakan kain khas yang dipanggil sebagai kain pua kumbu atau kain yang di sulam.
Si ibu akan diurut oleh bidan, bertujuan menghilangkan kesakitan selepas bersalin. Seterusnya ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu dibalut dengan kekalung iaitu sejenis kain yang di perbuat daripada kulit kayu akan di sapu pada badan si ibu.
Sepanjang tempoh berpantang si ibu perlu menjaga pemakanan selama 30 hari dan berdiang selama 40 hari. Semasa berpantang makanan, si ibu hanya dibenarkan memakan nasi bersama ikan kering atau ikan salai dan pucuk paku atau buah pulur. Makanan tersebut pula perlu dicampur dengan air rebusan halia bagi memanaskan badan si ibu.
Berdiang atau bersalai ialah duduk berhampiran unggun api. Unggun api perlu menggunakan kayu api yang dikhaskan, iaitu kayu malam dan kayu langsat. Hal ini demikian kerana kayu tersebut mempunyai khasiat tersendiri. Sepanjang tempoh 40 hari ini, si ibu perlu mencalitkan kapur pada tiang rumah sebagai penanda hari. Tujuan bersalai adalah menghilangkan penyakit ibu yang baru bersalin.
ADAT PEMILIHAN NAMA KEPADA BAYI
Pemilihan nama amat penting bagi kaum Iban. Kerana mereka berpendapat nama yang baik akan memberi kesan yang baik kepada masa depan bayi tersebut. Nama timbangan terlebih dahulu di berikan sebelum nama rasmi. Nama rasmi di berikan berdasarkan nama orang terdahulu yang hebat dan berjasa. Agar, kelak bayi tersebut akan menjadi orang yang berguna. Cara pemilihan nama bagi kaum Iban merupakan adat yang sangat unik. Dua nama terbaik akan dipilih dan diletakkan di atas dua keping papan yang berlainan. Seterusnya gumpalan nasi diletakkan di atas papan tersebut. Seekor ayam jantan akan dilepaskan supaya memagut salah satu gumpalan nasi. Hal ini bermakna nama yang terdapat pada gumpalan nasi yang dipagut oleh ayam akan menjadi pilihan untuk nama bayi.
0 comments